Selamat Datang

Saturday 24 September 2011

PERKHEMAHAN PERDANA MGB KUMPULAN 4 DI ULU BOLE

           Bermula 23 september 2011 sehingga 24 september 2011 satu Perkhemahan Perdana MGB Kumpulan 4 telah diadakan di Sekolah Rendah Ulu Bole. Perkhemahan ini melibatkan 5 buah sekolah iaitu SK.Ulu Bole, SK.Banting, SK.Kawang, SK.Mendulung dan SK. Lubang Buaya. 

          Bagi murid SK.Banting, perjalanan ke Ulu Bole bermula lebih kurang jam 11.00 pagi 23 September 2011 itu. Perjalanan ke sana menggunakan 2 buah kereta iaitu sebuah pikap dan sebuah hilux. Murid-murid perempuan dan  2 guru perempuan menaiki pikup manakala murid-murid dan 2 guru lelaki menaiki hilux.

          Perjalanan ke Ulu Bole memakan masa selama 2 jam. Kami sampai ke kawasan Sekolah Kebangsaan Ulu Bole lebih kurang jam 1.00 tengahari. Kemudian murid ke padang sekolah untuk memasang khemah masing-masing. Selesai memasang khemah, murid diberikan makanan masing-masing.

          Selepas semua selesai makan, murid ke surau untuk solat zuhur dan asar kemudian  berehat seketika sebelum aktiviti seterusnya bermula. Pada jam 4.00 petang, majlis perasmian bermula dan majlis tersebut di rasmikan oleh Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Sipitang.

          Setelah tamat majlis perasmian, murid dibenarkan membersihkan diri sebelum makan malam bermula.  Setelah selesai makan malam, murid ke surau untuk solat maghrib dan isyak sebelum acara "ice breaking"  bermula jam 8.00 malam. Lebih kurang jam 9.30 malam, acara  "ice breaking"  selesai dan semua murid dibenarkan masuk tidur. Guru-guru  pula akan bersama dengan pegawai PPD untuk slot khas bersamanya. Majlis bersama dengan Pegawai PPD tamat pada jam 12.00 malam dan semua guru dibenarkan untuk pulang ke khemah masing-masing untuk tidur.

         Keesokan harinya bermula jam 5.00 pagi , semua murid bangun dan membuat persiapan diri sebelum solat subuh dan kuliah subuh. Selesai solat subuh, murid dibenarkan pulang ke khemah sebelum acara senamrobik bermula jam 6.00 pagi. Acara senamrobik berlangsung selama sejam dan seterusnya murid sarapan pagi.

        Lebih kurang jam 8.00 pagi, semua murid dan guru bersiap-siap untuk aktiviti "kembara".  Perjalanan kembara ini  melibatkan aktiviti menaiki bukit selama 2 jam untuk naik dan turun. Aktiviti kembara ini mencabar juga kerana keadaan bukit yang sedikit cerun dan keadaan sekeliling perjalanan yang dipenuhi lalang yang tinggi dan pokok-pokok lain.

        Setelah aktiviti kembara tamat, semua murid dibenarkan berehat seketika dan membersihkan diri. Masa ini digunakan oleh murid untuk berehat dan berkemas-kemas barang masing-masing.  Majlis seterusnya ialah majlis perasmian penutup dan majlis ini dirasmikan oleh Guru Besar SK.Kawang.

      Majlis perasmian ini berlangsung dengan baik. Setelah majlis perasmian ini selesai, semua murid diarahkan untuk mengemas kembali pakaian dan khemah masing-masing sebelum  "Majlis Makan Perdana" bermula.

      Perkhemahan Perdana ini tamat setelah semua murid siap berkemas. Setelah kenderaan sapai jam 1.00 tengahari, semua murid dan guru pulang ke sekolah masing-masing.

Thursday 22 September 2011

SAMBUTAN HARI RAYA DAN MERDEKA SEKOLAH 2011

             Pada hari ini, satu majlis sambutan hari raya dan hari merdeka telah dijalankan dengan sederhana. Majlis ini telah dihadiri oleh wakil Balai Polis Sindumin, wakil Klinik Ibu Dan Anak Banting, Guru Besar SK.Sindumin, Guru Besar SK.Pantai, PK.Kanan KOKUM SK.Kuala Mengalong, Timb.Yang Dipertua PIBG dan Pengerusi JKKK Kampung Sipitang.
ANTARA BASIKAL BERHIAS YANG TURUT BERTANDING
          Majlis sambutan hari ini bermula dengan kehadiran murid SK.Banting dengan basikal berhias mereka dan seterusnya kehadiran para ibubapa ke halaman sekolah. Setiap ibubapa diberikan sekeping nombor untuk cabutan nombor bertuah. Para jemputan pula hadir ke sekolah sekitar jam 9.00 pagi. Setelah para jemputan mengambil tempat, juru acara memulakan acara hari ini.


JURU ACARA YANG BERPENGALAMAN
          Kemudian wakil Balai Polis Sindumin, Guru Besar SK.Banting dan Penolong Kanan KOKUM SK.Banting telah ke tapak pameran basikal untuk menilai dan memberikan markah untuk pertandingan basikal berhias sempena "MERDEKA RAYA"  hari ini.

PARA JEMPUTAN MEBGAMBIL TEMPAT
         Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan doa oleh wakil JKKK Kampung Sipitang dan nyanyian lagu "negaraku"  dan "sabah tanah airku" .Majlis diteruskan lagi dengan  ucapan alu-aluan oleh Guru Besar SK.Banting
BACAAN DOA SELAMAT
         Majlis diteruskan lagi dengan nyanyian lagu kemerdekaan dan laungan kemerdekaan yang diketuai oleh Encik Dahli. Selepas itu, guru besar menyerahkan cek replika Pusat Zakat Sabah kepada wakil ibubapa.
NYANYIAN LAGU KEMERDEKAAN
         Majlis kemuncak sambutan hari ini diteruskan lagi dengan cabutan-cabutan teket bertuah untuk murid setiap kelas, guru dan AKS dan jemputan.

 
         

            Kemudian penyampaian hadiah "basikal merdeka berhias" dan 'duit raya" telah dijalankan dengan guru kelas menyampaikan kepada murid kelas masing-masing.

JOHAN BASIKAL BERHIAS

         Akhir sekali, acara yang ditunggu-tunggu telah tiba iaitu acara jamuan makan. Semua jemputan, guru dan jemputan telah dijemput untuk menjamu selera masing-masing di tempat yang telah dikhaskan.

PARA IBU MENJAMU SELERA

PARA BAPA MENJAMU SELERA

MURID MENJAMU SELERA
       

Wednesday 21 September 2011

PERSIAPAN UNTUK SAMBUTAN "MERDEKA RAYA"

              Hari ini telah diadakan persiapan terakhir untuk sambutan "MERDEKA RAYA" . Persiapan ini melibakan pemasangan khemah sebanyak 2 biji, proses menyusun kerusi di dalam khemah tersebut dan penyusunan meja-meja untuk tempat makan ibubapa dan hadiah.

             Pemasangan khemah sebanyak 2 biji telah melibatkan beberapa orang guru dan murid-murid tahun 6. Hal ini sedemikian kerana pemasangan khemah ini memerlukan tenaga yang banyak kerana ia memerlukan ketelitian. Murid-murid tahap 2 dikerahkan untuk menyusun kerusi di bawah khemah tersebut kerana murid tahun 6 tidak ramai dan keadaan ini akan menyusahkan mereka semua.

           Beberapa orang guru berkenaan juga sibuk dengan persiapan PA System. Ini memandangkan kelengkapan ini diperlukan keesokan harinya untuk membuat pengumuman dan lain-lain hal.

        Raptai untuk acara esok juga telah dilakukan oleh guru-guru supaya majlis esok akan berlangsung dengan lebih lanjut tanpa apa-apa masalah. Diharap program esok akan berlangsung dengan jayanya. Amin.

Tuesday 20 September 2011

HARI KE-2 UJIAN OGOS

           Pada hari ini, ujian bulan  ogos telah disambung ke hari kedua. Ujian hari ini bermula dengan Bahasa Inggeris kertas 1. Kemudian, ujian diteruskan dengan Bahasa Inggeris kertas 2. Selepas rehat, ujian diteruskan dengan kertas sains.

          Beberapa orang guru dengan bantuan murid tahun 6 sibuk menghias dan menyusun untuk persiapan hari raya yang akan diadakan pada hari khamis ( 22 September 2011 ) nanti.

Monday 19 September 2011

BERMULA UJIAN OGOS 2011

           Hari ini bermula lah ujian ogos bagi semua murid tahun 1 sehingga tahun 5. Ujian ini bermula jam 8.00 pagi dan tamat 12.40 tengahari. Ujian hari ini melibatkan Bahasa Melayu, Matematik dan Pendidikan Islam.

          Walau bagaimana pun, ujian Pendidikan Islam untuk Tahun 1, 2 dan 3 tidak dapat dijalankan memandangkan guru yang menyediakan soalan ujian masih di semenanjung dan tidak balik lagi ke sabah. Mungkin esok beliau akan hadir ke sekolah untuk menyediakan soalan pendidikan islam kepada murid yang belum menghadapinya.

Saturday 17 September 2011

JOGATHON DAN SUKANEKA PSKPPS DAERAH SIPITANG

            Hari ini bermula seawal jam 7.00 pagi, pendaftaran untuk Pertandingan Jogathon PSKPPS Daerah Sipitang telah berlangsung. Pertandingan ini melibatkan semua guru di daerah sipitang melalui zon masing-masing.

         Setelah semua peserta mendaftarkan diri, jam 8.00 pagisemua peserta dilepaskan untuk larian jogathon. Guru Besar SK.Banting dilihat mendahului semua peserta lain di depan dengan lariannya yang sangat bertenaga. Setelah semua peserta memulakan langkah larian masing-masing, lebih kurang jam 9.15 pagi semua peserta berjaya menamatkan larian mereka bermula dari SMl.Padang Berampah menuju ke SFI dan patah balik semula ke SMK. Padang Berampah.

         Selesai larian jogathon, acara golf telah dimulakan dan kelihatan Pegawai Pelajaran Daerah, Encik Abdul Razak Abdul Karim memulakan pukulan disamping peserta-peserta lain. Setelah acara pukulan golf tamat, acara sukaneka telah bermula. Terdapat pelbagai acara sukaneka disediakan oleh penganjur dan urusetia. Kelihatan guru-guru gembira dengan sukaneka yang berlangsung.

         

Thursday 15 September 2011

BERAKHIRNYA UPSR 2011

           Hari ini merupakan hari terakhir untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR ) 2011.  Peperiksaan hari ini bermula dengan kertas Sains bermula jam 8.00 pagi diikuti Bahasa Inggeris kertas 1 bermula jam 10.30 pagi dan seterusnya Bahasa Inggeris Kertas 2  bermula jam 11.45 pagi.  Setelah berehat seketika, bermula jam 2.30 petang Ujian Aplitud bermula.

           Seawal  pagi lagi, hujan turun dengan amat lebat sekali. Ditambahkan dengan ketiadaan bekalan elektrik seketika di sekolah menyebabkan suasana pagi di sekolah agak tenang dan sepi. Lebih kurang jam 8.00 pagi baru lah bekalan elektrik kembali kepada sediakala. Pihak sekolah amat bersyukur kerana jika tiada bekalan elektrik, susah untuk calon menjawab peperiksaan kerana keadaan sekeliling gelap.

         Pihak sekolah juga dilawati oleh wakil SK. Sindumin untuk meminjam khemah untuk acara sambutan hari raya sekolah mereka minggu depan. Pihak sekolah juga di lawati oleh Guru besar Ulu Bole untuk membincangkan mengenai perkhemahan Perdana yang akan diadakan nanti.

Wednesday 14 September 2011

HARI KE-2 UPSR 2011

             Hari ini, semua murid tahun 6 menghadapi satu lagi kertas iaitu Kertas 1 Matematik. Peperiksaan bermula jam 8.00 pagi sehingga 9.15 pagi selama 1 jam 15 minit. Selepas selesai peperiksaan tersebut, semua murid dibenarkan pulang memandangkan tiada lagi kertas yang akan di hadapi.

             Peperiksaan akan bersambung keesokan harinya dengan beberapa kertas lagi. Semoga esok akan memberi ketenangan yang lebih baik untuk murid menghadapi kertas lain.

Tuesday 13 September 2011

BERMULA UPSR 2011

           Hari ini, bermulalah Ujian Penilaian Sekolah Rendah ( UPSR ) 2011. Peperiksaan bermula dengan Bahasa Melayu Kertas 1. Kemudian, peperiksaan diteruskan dengan Bahasa Melayu Kertas 2. Selepas berehat, murid menghadapi kertas terakhir untuk hari ini iaitu Matematik Kertas 2.

       Seramai 3 orang pengawas ditugaskan menjaga UPSR 2011 di sekolah kami. Mereka terdiri daripada 2 orang guru lelaki dan seorang guru perempuan. Peperiksaan UPSR bermula jam 8.00 pagi dan berakhir sekitar jam 12.30 tengahari.

        Secara keseluruhan, semua murid menyatakan mereka dapat menjawab peperiksaan tersebut dan diharap mereka mendapat keputusan yang baik.

        Pihak sekolah juga telah dilawati oleh wakil Pejabat Pelajaran Daerah Sipitang seramai 2 orang. Mereka datang untuk memantau perjalanan UPSR di sekolah kami. mereka berpuas hari dengan peperiksaan yang dijalankan.

        Suasana sekolah agak sepi kerana semua murid tiada dan ini menyebabkan kebanyakan guru bosan dan ada yang berjalan-jalan mencari makanan di kedai-kedai berdekatan di Sindumin. Hal ini kerana, sekolah tidak ada kantin dan guru-guru terpaksa ke Sindumin untuk mencari sedikit makanan untuk mengalas perut mereka sementara menunggu 12.40 tengahari.

Monday 12 September 2011

MINGGU UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH 2011

          Hari ini merupakan hari terakhir untuk persiapan bagi murid tahun 6 sebelum menduduki peperiksaan UPSR 2011 keesokan harinya. Pada perhimpunan pagi hari ini, Guru Besar mengumumkan bahawa semua murid Tahun 1 sehingga Tahun 5 diberikan cuti rehat selama 3 hari untuk memberikan ketenangan kepada Murid tahun 6 menghadapi UPSR. Beliau juga mengumumkan pada hari jumaat ( 16 September 2011 ), semua murid diberikan cuti sempena Hari Malaysia.

        Pada hari ini juga, Pihak sekolah dimaklumkan bahawa Pn. Musliawati terpaksa terbang pulang ke kampung kerana anaknya dimasukkan ke wad kanak-kanak. Dengan itu, beliau tidak hadir ke sekolah beberapa hari sehingga anaknya sohat sepenuhnya.

       Sekolah juga hari ini telah di lawati oleh 2 orang guru yang akan bertugas sebagai pengawas UPSR keesokan harinya. Secara keseluruhannya, mereka berpuas hati dengan tempat yang disediakan untuk murid-murid menjawab peperiksaan.

     Semoga murid-murid Tahun 6 akan dapat menjawab soalan UPSR 2011 dengan jayanya.

Friday 9 September 2011

BACAAN YASIN PERINGKAT SEKOLAH

           Hari ini jam 9.00 pagi, satu majlis bacaan yasin dan doa selamat telah diadakan di Bilik Pemulihan Sekolah Kebangsaan Banting. Majlis ini di hadiri oleh ibu bapa, murid tahun 6 dan guru-guru lelaki. Majlis ini dimulakan dengan ucapan pendahuluan oleh Guru Besar. Kemudian, bacaan yasin dimulakan dengan di pimpin oleh imam Kampung Banting. Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan tahlil yang diketuai oleh ustaz hairy.

        Selesai bacaan yasin dan tahlil, semua ibu bapa, murid dan guru dijamukan dengan kuih muih raya dan air kotak. Majlis selesai lebih kurang jam 10.20 pagi dan murid dibenarkan untuk berehat sebelum loceng seterusnya untuk kembali ke kelas di bunyikan.

         Semoga dengan daya usaha terakhir ini dapat memberikan ketenangan dan keyakinan untuk para calon UPSR 2011 untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukana kelak.

Thursday 8 September 2011

SOLAT HAJAT DAN BACAAN YASIN PERDANA

             Pada hari ini, satu majlis solat hajat dan bacaan yasin perdana sempena UPSR 2011 yang akan dihadapi oleh murid tahun 6 pada 13 september 2011 sehingga 15 september 2011.  Majlis tersebut diadakan di Masjid Haji Hashim di pekan sipitang.

          Majlis ini bermula sekitar jam 5.30 petang sehingga 9.00 malam. Majlis ini dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sipitang iaitu Datuk Sapawi. Dalam agenda yang dirancang, pada jam 5.30 petang ahli parlimen sipitang akan berucap sehinggalah masuk waktu maghrib. Kemudian, setelah selesai solat maghrib bacaan yasin beramai-ramai akan diadakan sehingga waktu isyak. Selesai solat isyak, solat hajat akan diadakan dan seterusnya semua akan dijamu dengan sedikit hidangan.

Sunday 4 September 2011

BERMULA KEMBALI SEKOLAH SELEPAS CUTI RAYA DAN CUTI SEKOLAH

            Bermula hari ini  5 September 2011, semua murid menyambung kembali sesi pembelajaran selepas bercuti selama 9 hari untuk berhari raya. Walaupun begitu, bermacam-macam gelagah murid dapat diperhatikan semasa perhimpunan pagi.  Ada murid yang berambut baru ala-ala punk, ada yang rambut raya botak dan bermacam-macam lagi. Ada juga murid yang masih menyambung cuti raya dan tidak hadir ke sekolah.

            Walaupun suasana raya masih di rasai oleh semua tetapi murid-murid Tahun 6 tidak dapat beraya dengan senang hati memandangkan minggu depan iaitu bermula 13 September 2011 sehingga 15 September 2011 akan bermulalah satu perjuagan hidup mati bagi penentuan masa depan mereka. Pada tanggal tersebut, Peperiksaan UPSR akan bermula.