Selamat Datang

Monday 25 July 2011

PERHIMPUNAN PAGI YANG SEPI...

         Pada hari ini, sesi persekolahan bermula  suasana yang tenang dan sepi.  Hal ini kerana cuaca pagi yang mendung dan tenang. Perhimpunan pagi hari ini tidak semeriah sebelumnya kerana kehadiran guru yang tidak menggalakkan. Hal ini sedemikian kerana guru-guru mungkin menghadapi masalah peribadi masing-masing. Guru besar juga tidak hadir dan dari sumber yang tidak rasmi mengatakan beliau telah mengikuti rombongan melawat ke SK.Ulu Lubai, Sarawak.

          Perhimpunan pagi hari ini mulai ceria dan meriah selepas Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Encik Sugianto Panus dan Puan Ismarinny Sarbini memanggil beberapa orang murid untuk mengeja beberapa perkataan English dan diikuti dengan bacaan sifir oleh beberapa orang murid.

       Sesi P&P masih berjalan seperti biasa memandangkan kebanyakan guru ada di sekolah dan setiap waktu kelas dapat diisi. Beberapa murid LINUS juga di panggil untuk diberikan Ujian Saringan untuk  menguji tahap mereka dan alhamdulillah kebanyakan murid melepasi Ujian Saringan yang dijalankan.

        

Friday 22 July 2011

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT DAERAH SIPITANG 2011

               Hari ini bertempat di SMK.Pengiran Omar 2 telah diadakan satu Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah 2011. Majlis bermula jam 8.30 pagi dengan semua guru daerah sipitang melaporkan diri dengan mengisi kehadiran sekolah masing-masing. Lebih kurang jam 9.00 pagi, Pegawai Pelajaran Daerah dan Ketua Sektor di JPN Sabah telah sampai dan majlis dimulakan.


               Majlis Dimulakan dengan nyanyian Lagu "Negaraku" dan Lagu " Sabah". Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan doa. Selesai bacaan doa, Tuan Pegawai Pelajaran Daerah memberikan ucapan alu-aluan untuk menyambut kehadiran ketua Sektor Pengurusan Akademik JPN Sabah ke Daerah Sipitang untuk pertama kalinya.

             Setelah selesai ucapan Pegawai PPD, Ketua Sektor memberikan sedikit ucapan  dan seterusnya merasmikan Program Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah. Kemudian, beliau menyampaikan sijil kepada guru-guru yang mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (  APC )  2010.

          Selesai penyampaian sijil, Ketua Sektor dan pegawai PPD di persilakan duduk di tenpat yang dikhaskan  dan upacara menaikkan bendera dilakukan oleh wakil guru dari SMK.pengiran Omar 2. Seterusnya, majlis diteruskan dengan bacaan ikrar oleh semua guru yang diketuai oleh Pengetua SMK.pengiran Omar.


         Persembahan koir oleh guru-guru SMK. Padang Berampah menyusul selepas itu. Mereka semua mempersembahkan 3 buah lagu iaitu Lagu Guru Malaysia, Lagu Tema Hari Guru 2011 dan Lagu Warisan. Setelah habis persembahan guru-guru ini, murid-murid dari SK. Merintaman mempersembahkan satu lagu untuk para guru iaitu "Terima kasih Cikgu".

        Kemudian, Penyampaian Anugerah Pesara Pendidikan dan Anugerah Tokoh Guru Daerah Sipitang 2011 dilakukan. Mereka dianugerahkan dengan sijil dan sedikit cenderahati dari pihak PPD.







SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT DAERAH SIPITANG 2011

             Pada 23 Julai 2011 iaitu keesokan harinya, satu Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Sipitang 2011 akan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengiran Omar 2 pada jam 7.40 pagi. Majlis sambutan ini akan di raikan oleh semua guru di Daerah Sipitang dan kehadiran para guru DIWAJIBKAN. Hal ini sedemikian kerana jika kehadiran guru tidak diwajibkan, maka jumlah kehadiran guru-guru akan  berkurangan kerana esok merupakan hari cuti dan kebanyakan guru mempunyai perancangan aktiviti masing-masing.

            Bagi SK.Banting, Guru Besar telah memberitahu akan kehadiran dan surat tunjuk sebab mesti diberikan jika tidak hadir ke majlis tersebut. Pada hari ini juga, guru-guru yang menghadiri program kemarin memberi pendapat tentang penambahbaikan kepada guru besar supaya pada masa akan datang segala kekurangan dapat di atasi dan dipertingkatkan.

           Diharap esok tempat letak kereta di SMK. Pengiran Omar 2 mencukupi untuk menampung kehadiran semua guru di Daerah Sipitang ini. Hal ini kerana tempat letak kereta sangat terhad di sana.

Thursday 21 July 2011

PROGRAM BIMBINGAN BERFOKUS SEKOLAH KUMPULAN 4 HARI KEDUA

          Hari ini,  Program Bimbingan Berfokus Sekolah Kumpulan 4 masuk hari kedua. Pada hari ini, murid didedahkan dengan tips menjawab soalan untuk Mata Pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris. Slot 1 untuk program  ini bermula jam 8.00 pagi sehingga jam 10.00 pagi. Setiap kumpulan dibimbing oleh 2 orang guru dan soalan yang di bincangkan ialah Bahagian B.

          Seterusnya, slot 2 iaitu untuk Mata Pelajaran Bahasa Inggeris bermula jam 10.15 pagi selepas murid berhenti rehat.  Perbincangan  dijangka tamat jam 12.30 tengahari dan seterusnya perasmian  penutupan diadakan dan ia dirasmikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah iaitu Encik Abdul Razak.


Wednesday 20 July 2011

PROGRAM BIMBINGAN BERFOKUS SEKOLAH KUMPULAN 4

           Hari ini bertempat di Sekolah Kebangsaan Lubang Buaya telah diadakan satu program untuk murid-murid tahun 6 kumpulan 4. Program tersebut ialah Program Bimbingan Berfokus Sekolah Kumpulan 4. Program ini melibatkan mata pelajaran teras sahaja iaitu Bahasa Melayu, English, Sains dan Matematik. Program ini akan berlangsung selama 2 hari bermula 20 Julai 2011 sehingga 21 Julai 2011.

           Untuk hari ini bermula jam 7.30 pagi sehingga 9.30 pagi merupakan Slot 1 iaitu untuk mata pelajaran Bahasa Melayu dan bermula jam 10.00 pagi sehingga 12.00 tengahari merupakan slot 2 untuk mata pelajaran Matematik. Untuk slot esok, bermula 7.30 pagi sehingga 9.30 pagi merupakan slot untuk mata pelajaran Sains dan untuk slot 2 adalah untuk mata pelajaran 10.00 pagi sehingga 12.00 tengahari.

Monday 18 July 2011

KUIZ KESIHATAN PERINGKAT ZON SELATAN..

             Hari ini bertempat di SJK Chung Hwa Sipitang telah berlangsung satu acara iaitu Pertandingan Kuiz Kesihatan Peringkat Zon Selatan. Wakil sekolah  yang terlibat dalam pertandingan ini ialah dari Daerah Sipitang, Daerah Beufort, Daerah Kuala Penyu dan Daerah Papar.





             
          Pertandingan ini bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tengahari. Sebanyak 6 pusingan telah dijalankan. Setelah tamat pertandingan, Daerah Papar menggondol hadiah tempat pertama dengan 23 markah, tempat kedua pula dimenangi oleh Daerah Beufort dengan 12 markah manakala tempat ketiga dimenangi oleh Daerah Sipitang dengan memperolehi markah sebanyak 10 markah dan Daerah Kuala Penyu memperolehi 2 markah dan menduduki tempat keempat.

         Pertandingan Kuiz Kesihatan ini telah dirasmikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Sipitang iaitu Encik Abdul Razak Abdul Karim. Beliau sangat berpuas hati dengan penganjuran pertama oleh pihak penganjur Daerah Sipitang dan berharap kuiz seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang untuk memberikan informasi dan pengetahuan kepada semua pihak terutama pelajar sekolah di Daerah Sipitang.


      Bagi murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Banting, mereka telah di bawa melawat ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sindumin untuk menghadiri Bengkel Menjawab Soalan UPSR dan mereka diiringi oleh 2 orang guru iaitu Puan Ivy J.James dan Encik Sugianto Panus. Mereka akan berbincang jawapan EXCEL 2  yang baru diadakan minggu lepas.

Lawatan Mantan Guru SK.Banting

           Pada hari ini, Sekolah Kebangsaan Banting telah dilawati oleh mantan guru iaitu Cikgu Yusop. Beliau telah mengajar di sekolah ini pada zaman 1990-an dan kini mengajar di SK.Kebawang. Lawatan beliau adalah untuk bertanya khabar dan berbincang sedikit dengan Guru Besar mengenai program yang telah dirancang oleh pihak PPD.

          Pada perhimpunan pagi hari ini juga, dua orang murid Doktor Muda telah memberikan penerangan dan demontrasi Cara Menggosok Gigi yang betul. Hal ini memandangkan kebanyakan murid belum mengetahui cara menggosok gigi yang betul.

           Hari ini juga, penggunaan alatan ICT telah dimulakan dengan pennggunaan Bilik Akses untuk TMK dan penggunaan projektor bagi P&P. Penggunaan ICT ini adalah satu langkah yang baik untuk perkembangan dan pengetahuan ilmu ICT kepada murid-murid. Dengan ini, murid mengetahui tentang alatan ICT dan cara penggunaannya. Diharap guru lain juga mengikuti langkah ini dengan memperkenalkan lagi alatan ICT kepada murid.

         Keesokan harinya, murid-murid Tahun 6 akan menghadiri bengkel Bahasa Inngeris di SMK. Sindumin sehingga tengahari. Murid-murid ini akan diiringi oleh 2 orang guru iaitu Puan Ivy J.James  dan Encik Sugianto Panus.

Thursday 14 July 2011

SISTEM PENGURUSAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH

                Hari ini, satu Bengkel Penggunaan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah ( SPPBS) telah diadakan pada jam 10.40 pagi bertempat di Bilik Pemulihan. Taklimat bengkel ini telah diberikan oleh Setiausaha Peperiksaan Sekolah, Puan Ismarinny Sarbini. Bengkel ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada guru-guru KSSR tentang cara pengisian ke dalam sistem tersebut.

               Dalam bengkel ini, semua guru didedahkan dengan cara memasuki sistem, memasukkan data guru dan cara menilai murid berdasarkan Dokumen Standard Prestasi yang telah ditetapkan. Di dalam Dokumen Standard Prestasi ini, ia menyatakan Kerangka Standard Prestasi bermula band 1 sehingga band 6. Setiap murid akan dinilai berpandukan aspek-aspek yang telah ditetapkan di dalam setiap band.

              Memandangkan SPPBS ini merupakan sesuatu yang baharu, kebanyakan guru KSSR masih menghadapi masalah bagaimana cara menilai murid dan perbincangan dengan semua guru perlu dilakukan lagi supaya guru tidak salah nilai seseorang murid.

             Walau bagaimanapun dengan bengkel yang telah diberikan, semua guru telah didedahkan secara lebih lanjut tentang Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah dan diharap semua guru dapat melengkapkan sistem ini dari bulan Januari hingga bulan Julai 2011.

Wednesday 13 July 2011

KURSUS PEMANTAPAN GURU LINUS TAHUN 2

                Pada hari ini, 3 orang guru Sekolah Kebangsaan Banting telah menghadiri satu Kursus Pemantapan Guru Linus Tahun 2 di PKG Sipitang. Guru-guru yang terlibat ialah Puan Mahani, Puan Amantubillah dan Cik Nuraini. Memandangkan 3 orang guru yang mewakili Guru Bahasa Melayu, Guru Matematik dan Guru Pemulihan. Guru-guru tersebut juga telah meninggalkan kerja kepada murid-murid berkenaan dan keadaan kelas  dapat dikawal dengan murid melakukan aktiviti yang telah di tetapkan.

               Guru Besar juga telah menghadiri Kursus MGB bermula 12 Julai 2011 sehingga 14 Julai 2011 iaitu selama 3 hari di PKG Sipitang. Memandangkan Guru Besar tiada, tugas pentadbiran di ambil alih oleh Penolong Kanan 1 iaitu Puan Siah Jair.

Tuesday 12 July 2011

LATIHAN 1 MURID 1 SUKAN

                  Bermula jam 7.20 pagi sehingga 8.20 pagi, sesi sukan 1M1S telah bermula dengan latihan asas telah diberikan oleh guru berkenaan. Memandangkan guru yang melatih murid masih "fresh"  dengan ilmu yang dituntut minggu lepas, hanya guru yang menghadiri kursus sahaja yang kelihatan di padang melatih murid dan guru-guru lain kelihatan di tepi padang dan di dalam bilik guru. Hal ini memang seperti yang dijangkakan memandangkan guru-guru lain tidak tahu apa yang hendak diajar kepada murid dan langkah terbaik adalah duduk di dalam bilik guru atau di tepi padang sahaja sambil melihat apa yang guru lain buat.

                Bermula hari ini juga, jadual waktu kelas telah berubah sekali lagi dan murid-murid kebanyakan pening dengan jadual baru tetapi mereka tetap dapat meneruskan sesi P&P seperti yang sepatutnya.

               Pada hari ini juga, pihak sekolah telah mendapat lawatan daripada pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Sindumin yang di wakili oleh Pengetua dan Penolong Kanan HEM. Tujuan kedatangan mereka ke sekolah adalah untuk memantau dan mengambil maklumat awal dari pihak sekolah tentang murid tahun 6 memandangkan murid-murid ini akan ke sekolah mereka pada tahun hadapan. Mereka juga merancang satu program khas untuk tahun 6 terutamanya dalam  Bahasa Inggeris yang akan diadakan pada 19 Julai 2011 di SMK. Sindumin.

             Murid tahun 6 juga akan mengghadiri satu bengkel menjawab soalan di SK.Lubang Buaya pada 20 dan 21 Julai 2011 selama 2 hari merangkumi 4 mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas 2, Matematik Kertas 2, Sains Bahagian B dan Bahasa Inggeris. Untuk setiap mata pelajaran, 2 orang guru akan mengiringi murid ke SK. Lubang Buaya. Oleh itu, seramai 8 orang guru akan keluar dari sekolah ke SK.Lubang Buaya selama 2 jam untuk setiap mata pelajaran.

              Diharap program yang telah dirancangkan ini berjaya dengan jayanya dan semua murid mendapat manafaat darinya.

Monday 11 July 2011

MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL DAN PERPINDAHAN JURUTEKNIK

               Pada hari ini, satu majlis penyampaian Sijil penghargaan kepada 4 orang murid yang menyertai Kuiz Kesihatan di PKG Sipitang telah diadakan di tapak perhimpunan pagi. Hal ini bagi memberikan penghargaan kepada wakil murid yang mewakili sekolah ke pertandingan ini.

              Pada hari juga, secara rasminya juruteknik sekolah yang sebelum ini iaitu Puan Siti Norasyikin telah berpindah ke tempat baru iaitu JPN Perak. Tahniah di ucapkan kepada beliau. Semoga beliau dapat menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya di tempat baru.

              Pada perhimpunan pagi hari ini juga, wakil guru ke Kursus Jurulatih Daerah minggu lepas telah memberikan sedikit taklimat tentang pelaksanaan program ini. Semoga program 1M1S yang dirancang dan diberikan kursus ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya oleh para guru sekaliannya.

            Guru-guru juga telah diberikan jadual baru untuk P&P memandangkan terdapat pertindihan waktu pengajaran pada cubaan minggu lepas. Semua guru akan memulakan sesi pengajaran jam 7.20 pagi seperti biasa dan berakhir jam 1.40 tengahari. Hal ini hanya melibatkan kelas tahap 2 iaitu Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6. Oleh itu, guru yang mengajar tahap 2 iaitu Matapelajaran Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan, Matematik dan Muzik terpaksa mengajar lewat sejam. Kelas tambahan Tahun 6 juga terpaksa dibatalkan memandangkan waktu telah lewat dan kebanyakan murid terpaksa menghadiri sekolah agama pula pada jam 2.00 petang.

             Keesokan harinya juga, murid-murid Tahun 6 akan menghadapi EXCEL 2  bermula dengan subjek Bahasa Melayu Kertas 1 dan Bahasa Melayu Kertas 2.  Selamat berjaya diucapkan kepada murid-murid semua..

Thursday 7 July 2011

KURSUS JURULATIH UTAMA DAERAH HARI KETIGA DAN PENUTUP

                                            


 
               Hari ini merupakan hari terakhir dan penutup bagi Kursus Jurulatih Utama Daerah. Walaupun hari ini merupakan hari penutup, tetapi kelibat wakil dari PPD Sipitang tidak kelihatan sehinggalah majlis selesai.

              Walaupun kelibat wakil PPD Sipitang tidak kelihatan, tetapi majlis diteruskan juga pada sekitar jam 10.00 pagi. Majlis bermula dengan rumusan setiap wakil sukan yang dianjurkan. Setiap wakil menceritakan pengalaman dan ilmu yang diperolehi masing-masing. Setelah semua wakil memberikan rumusan masing-masing, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penyertaan oleh Jurulatih negeri kepada semua peserta kursus pada hari ini.

           Majlis bersurat lebih kurang jam 11.30 pagi dan peserta menjamu selera masing-masing sebelum pulang ke rumah masing-masing.

GURU-GURU MENUNGGU MAJLIS PENUTUPAN KURSUS JURULATIH UTAMA DAERAH


LOKASI TEMPAT KURSUS

ANTARA WAKIL BOLA JARING

ANTARA WAKIL GURU MEMBERI RUMUSAN
ANTARA GURU SUKAN PING-PONG


ANTARA GURU SUKAN BADMINTON


Wednesday 6 July 2011

KURSUS JURULATIH UTAMA DAERAH HARI KEDUA

               Pada hari ini, iaitu hari kedua Kursus Jurulatih Utama Daerah Sipitang telah berlangsung dengan baik dan aman. Pada hari ini, semua sukan mengadakan praktikal setelah kemarin semua kursus sukan berlangsung dengan teori.

               Bagi sukan badminton, semua peserta didedahkan dengan cara latihan asas, permainan kecil dan latihan yang boleh dilakukan tanpa raket dan bulu tangkis. Kebanyakan ilmu yang diturunkan dapat di aplikasikan di sekolah masing-masing semasa melatih murid-murid untuk menjalankan aktiviti.

             Bagi sukan sepak takraw pula, semua peserta di ajar dengan teknik dan peraturan dan permainan kecil yang boleh dilakukan menggunakan bola sepak takraw. Semua peserta juga ditayangkan dengan slaid tentang teknik, cara-cara dan perkara berkaitan dengan sepak takraw.

            Bagi sukan bola jaring pula, semua peserta mengadakan latihan dalam bulatan dan kebanyakan latihan lebih tertumpu kepada asas dan peraturan yang perlu  dipatuhi dalam sukan ini. Sukan bola jaring mempunyai peraturan yang ketat dan para peserta perlu memahaminya supaya ilmu tersebut dapat diperturunkan kepada murid-murid di sekolah masing-masing kelak.

            Bagi sukan bola keranjang dan olahraga pula, para peserta didedahkan dengan teknik dan peraturan melalui tayangan slaid. Hal ini sangat penting memandangkan sukan ini memerlukan tenaga dan teknik yang betul supaya kadar kecederaan dapat di minimakan.

         Bagi sukan ping pong pula, para peserta didedahkan dengan teknik dan cara bermain. Ini kerana permainan ini memerlukan ketangkasan dan teknik yang betul supaya permainan dapat berjalan dengan lancar dan baik.

        Secara keseluruhannya, semua sukan yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah pengiran Omar 2 berlangsung dengan baik dan lancar dan para peserta gembira dengan ilmu yang telah diperturunkan kepada mereka. Diharap dengan ilmu yang dituntut ini dapat diperturunkan sepenuhnya kepada semua murid di sekolah masing-masing.

Tuesday 5 July 2011

KURSUS JURULATIH UTAMA DAERAH HARI PERTAMA

            Pada hari ini, bertempat di Dewan SMK Pengiran Omar 2, satu Kursus Jurulatih Utama Daerah telah diadakan. Sebanyak 10 acara kursus telah ditawarkan tetapi hanya 9 daripada 10 acara yang ada penyertaan dari guru-guru. Acara sukan yang ditawarkan kursus pada hari ini ialah Bola Sepak, Bola Tampar, Badminton, Olahraga, Ping Pong, Sepak Takraw, Bola Keranjang, Bola Baling dan Bola Jaring. Satu acara sukan iaitu Hoki tidak ada penyertaan dari guru-guru daerah ini.

           Acara hari ini bermula jam 8.00 pagi dengan pendaftaran para peserta kursus. Pendaftaran kursus berlangsung sehingga jam 9.00 pagi. Pada jam 9.00 pagi, taklimat kursus telah diberikan oleh wakil Pejabat Pelajaran Daerah, Encik Azmie. Seterusnya, setiap acara di pecahkan dan dibahagikan mengikut acara sukan masing-masing. Secara keseluruhannya, sukan yang paling mendapat sambutan ialah Badminton dan Bola Sepak manakala sukan Bola Keranjang hanya mendapat 3 penyertaan dari sekolah Daerah Sipitang.

         Kursus hari ini berhenti rehat jam 10.30 pagi untuk minum pagi dan disambung pada jam 11.00  pagi sehingga 12.30 tengahari. Selepas itu, acara bersurai dan para peserta menjamu selera dengan makan tengahari. Kursus akan di sambung semula pada keesokan harinya bermula jam 8.30 pagi.

SUKAN 1 MURID 1 SUKAN BERMULA

              Pada hari ini  bermula jam 7.20 pagi hingga 8.20 pagi selama sejam, aktiviti 1 Murid 1 Sukan telah bermula. Semua murid Tahap 2 dikumpulkan di tapak perhimpunan dan dibahagikan kepada 3 kumpulan sukan iaitu Badminton, Sepak Takraw dan Bola Jaring. Setiap sukan ini di pimpin dan di pantau oleh 5 orang guru yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Disebabkan masa awal pagi di ambil selama sejam, jadual waktu persekolahan di anjak ke belakang selama sejam untuk Tahap 2 dan waktu pulang murid-murid ialah jam 1.40 tengahari. Walau bagaimanapun, murid-murid Tahap 1 dibenarkan pulang seperti biasa iaitu jam 12.40 tengahari.

             Bagi sukan badminton, murid yang menyertainya adalah seramai 15 orang lelaki dan perampuan. Murid didedahkan dengan saiz padang atau gelanggang. Murid juga didedahkan dengan peraturan dan alatan yang diperlukan untuk permainan ini. Setelah taklimat selesai, murid dibahagikan kepada 2 kumpulan besar dan murid melakukan aktiviti berbalas pukulan.

             Bagi sukan Sepak Takraw pula, seramai 13 orang murid lelaki. Murid-murid ini didedahkan dengan cara menimbang bola, melakukan servis dan cara menanduk bola. Untuk sukan ini, aktiviti dijalankan dalam bulatan supaya murid dapat menimbang bola beramai-ramai.

           Sukan Bola Jaring pula dianggotai oleh 15 orang murid lelaki dan perempuan. Mereka juga didedahkan dengan peraturan permainan. Murid diperkenalkan dengan cara permainan dan panggilan dalam sukan ini. Murid-murid ini melakukan aktiviti "passing"  dan "menjaring"  bola ke dalam bakul jaringan.

         Secara keseluruhannya, semua murid gembira dengan aktiviti yang dijalankan dan mereka tidak sabar menunggu untuk melakukan aktiviti ini lagi pada minggu hadapan.

Saturday 2 July 2011

LARIAN 1 MURID 1 SUKAN 1 MALAYSIA

            Pada Hari ini, satu acara yang melibatkan seluruh negara telah berlangsung. Acara tersebut ialah Larian 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia. Acara ini bermula jam 7.00 pagi dengan pendaftaran peserta yang terdiri daripada murid-murid, guru-guru dan ibubapa. Kesemua  peserta mendaftarkan diri kepada guru yang bertugas iaitu Cik Nuraini Binti Haji Hamit. Seterusnya, semua peserta berkumpul di tapak berhimpunan pagi untuk acara ucapan alu-aluan oleh Guru Besar, bacaan doa dan senamrobik.

          Tepat jam 7.45 pagi, acara pelepasan acara larian dilakukan oleh Guru Besar SK.Banting, Encik Zainal Bin Abu Bakar. Setelah acara berlari selesai, semua peserta diberikan air mineral untuk menghilangkan haus berlari mereka dan seterusnya semua dikumpulkan di tapak perhimpunana untuk sesi bergambar.

MURID-MURID MENDAFTAR

IBUBAPA MENDAFTAR

MURID-MURID BERKUMPUL DI TAPAK PERHIMPUNAN

GURU BESAR MENBERI KATA ALUAN

MURID MENDENGAR TAKLIMAT

ACARA PEMANASAN

MURID MELAKUKAN PEMANASAN
 
IBUBAPA MELAKUKAN PEMANASAN JUGA


MURID BERSIAP UNTUK PELEPASAN

ACARA PELEPASAN BERMULA

SEMUA MULA BERLARI

ANTARA GURU YANG BERLARI

ANTARA IBUBAPA YANG TURUT BERLARI

MURID DIBERI MINUMAN SETELAH BERLARI

SESI BERGAMBAR SELESAI BERLARI

ACARA "Soccer Crab"
        Selesai semua acara larian, murid-murid Tahap 2 dikumpulkan dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk Pertandingan " Soccer Crab"  yang terdiri daripada 5 orang setiap kumpulan. Acara ini berlangsung dengan sangat lama sehingga jam 11.00 pagi. Murid-murid sangat gembira dan seronok dengan aktiviti yang telah dijalankan. Selesai sahaja acara " Soccer Crab"  ini, semua murid dibenarkan pulang dan berakhirnya semua acara hari ini  Sempena Larian 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia.