Selamat Datang

Monday 31 October 2011

KURSUS DALAMAN KSSR TAHUN 2 /2012

            Bermula hari ini 31 Oktober 2011 sehingga esok 1 November 2011, satu Kursus Dalaman KSSR Tahun 2 bagi tahun 2012 telah diadakan di Bilik Darjah tahun 6. Kursus ini telah dikendalikan dan diuruskan oleh beberapa guru yang telah menghadiri Kursus KSSR di PKG Sipitang. Kursus ini diadakan untuk memberikan pendedahan kepada guru-guru lain mengenai dasar KSSR dan perubahan KBSR kepada KSSR.

          Kursus dalaman ini  perlu diadakan kerana pihak PPD mahu semua guru didedahkan mengenai KSSR dan mereka tidak janggal untuk tahun hadapan jika mereka terpaksa mengambil tugas mengendalikannya. Kursus ini dihadiri oleh semua guru kecuali Guru Besar ( Kursus di Kundasang ) dan Puan Ivy J.James ( cuti bersalin ).

           Setelah selesai Kursus Dalaman ini, satu laporan perlu dihantar ke PPD untuk makluman mereka akan pelaksanaan di sekolah.

Thursday 27 October 2011

LAKSA PENANG.....

            Hari ini murid-murid Tahun 6 telah mempelajari satu lagi  ilmu memasak  yang telah diajar oleh Ustaz Mohd Hairy Bin Ishak. Beliau telah menurunkan ilmu membuat "Laksa Penang".

           Pertama sekali, beliau mengajar murid-murid cara membuat "laksa". Untuk membuat laksa ini, tepung jagung, tepung gandum, minyak masak dan sedikit air panas diperlukan. Setelah diuli dan diadunkan, tepung tersenut dimasukkan ke dalam acuan dan dipusing untuk menghasilkan laksa.  Laksa yang dihasilkan ini haruslah dimasukkan ke dalam air panas yang mendidih supaya ia boleh terus masak.

          Kedua, murid-murid di ajar untuk membuat kuah laksa. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kuah laksa penang ini ialah sekilo ikan basung, daun kesum, bawang bombay, timun batang, kacang panjang, bunga kantan, cili kering dan cili api.

        Seterusnya, ikan basung dan cili kering tersebut akan direbus dan di "blender". Bahan-bahan lain seperti timun batang,  bawang bombay, cili api, bunga kantan dipotong dan diletakkan di dalam bekas. Kemudian, bahan-bahan ini akan dimasukkan ke dalam periuk untuk dimasak.

        Lebih kurang jam 10.00 pagi, proses memasak ini selesai dan murid-murid menjamu selera masing-masing. Guru-guru juga dijemput untuk merasai dan menikmati hasil masakan mereka. Proses menghasilkan "Laksa Penang"  hari ini berjaya dengan baiknya.


USTAZ HAIRY MEMBERI PENERANGAN

BAHAN-BAHAN LAKSA DI ULI

ANTARA LAKSA YANG SIAP

BAHAN-BAHAN ULAM

IKAN BASUNG

KUAH LAKSA PENANG

MURID-MURID MENIKMATI LAKSA PENANG

SEDAPNYA LAKSA PENANG NI....

    

Wednesday 26 October 2011

AKTIVITI MEMASAK TAHUN 6

             Pada hari ini, murid-murid Tahun 6 telah melakukan satu aktiviti memasak bagi mengisi masa lapang mereka. Mereka dibahagikan kepada 2 kumpulan. Setiap kumpulan terdiri dari murid lelaki dan murid perempuan. Bahan-bahan memasak untuk aktiviti hari ini telah di bawa sendiri oleh murid.

            Aktiviti memasak ini bermula sekitar jam 8.00 pagi dan berakhir sekitar jam 10.00 pagi. Pelbagai juadah telah disediakan oleh murid mengikut kreativiti masing-masing bertemakan "Masakan Kampung" . Di antara menu yang disediakan ialah ikan goreng, kari ikan, gulai ikan masin, telur masak kari, gulai nangka, gulai batang pisang, sambal belacan, sambal mempelam, celur jantung pisang, nenas, air kelapa , air oren dan banyak lagi.

          Aktiviti memasak ini di awasi oleh guru kelas mereka iaitu Puan Normah Binti Haji Kambar. Murid-murid menggunakan dapur dari minyak tanah dan  dapur lilin. Mereka semua bekerjasama untuk menyiapkan menu dan juadah hari ini.

        Selepas semua juadah selesai dimasak, juadah mereka akan dihakimi dan dinilai oleh guru-guru berdasarkan kreativiti dan tema yang ditetapkan. Setelah diadili, murid-murid menjamu selera masing-masing.













Tuesday 25 October 2011

PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN 2011 HARI KEDUA

           Hari ini peperiksaan akhir tahun hari kedua berlangsung.  Peperiksaan bermula dengan Bahasa Inggeris kertas 1. Kemudian, kertas Kajian tempatan dan Bahasa Arab. Selepas rehat, Bahasa Inggeris Kertas 2 berlangsung.

         Hari ini juga Sekolah Kebangsaan Banting menerima lawatan pembekal untuk barang-barang panatia. Pembekal dari Kedai Buku Lawas ini membawa barangan yang ditempah oleh setiap panatia mata pelajaran untuk tahun hadapan.

        Pusat Sumber Sekolah juga telah dihiasi dan dihamparkan dengan karpet baru. Proses ini telah dilakukan dengan bantuan tukang kebun dan pengawal keselamatan sekolah  supaya Pusat Sumber Sekolah kelihatan lebih cantik dan kemas.

Sunday 23 October 2011

PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN 2011

             Bermula hari ini  24 Oktober 2011 sehingga 28 Oktober 2011, Peperiksaan Akhir Tahun 2011 telah bermula. Peperiksaan ini melibatkan semua murid  bermula dari Tahun 1 sehingga Tahun 5. Semua soalan disediakan oleh guru kecuali soalan Tahun 5 disediakan oleh JPN Sabah melalui EXCEL 2011.

         Pada hari ini, kertas yang dihadapi oleh murid-murid ialah Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup dan Dunia Sains Teknologi ( Tahun 1 ).

         Murid-murid kebanyakan dapat menjawab soalan yang diedarkan kepada mereka. Mungkin disebabkan mereka telah bersedia lebih awal. Diharap mereka akan mendapat keputusan yang terbaik untuk diri mereka sendiri.

Friday 21 October 2011

BERAKHIRNYA KURSUS KSSR TAHUN 2 2011

             Hari ini merupakan hari terakhir untuk Kursus KSSR bagi Tahun 2 untuk 2011. Dengan perasmian penutup oleh Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Sipitang, Encik Abdul Razak Bin Abdul Karim tadi, maka secara rasminya berakhirlah kursus KSSR untuk tahun ini.

            Dengan kursus yang telah diberikan oleh para Jurulatih Utama Daerah, pihak PPD sangat berharap ia dapat diaplikasikan sebaik-baiknya pada tahun 2012 nanti. Para guru mempunyai masa untuk menyediakan secukupnya Bahan Bantu Mengajar untuk persiapan pengajaran tahun depan.

          Walaupun  perubahan dasar dari KBSR kepada KSSR telah dilaksanakan oleh kerajaan, namun KSSR ini lebih menyusahkan dan memenatkan guru . Tetapi, KSSR ini akan memudahkan para murid kerana mereka tidak perlu berhumpas pulas mentelaah dan membaca buku dan pelajaran kerana tiada peperiksaan mahu pun ujian yang perlu dihadapi. Ini kerana penilaian tahap pencapaian murid akan diisi melalui band-band yang telah ditetapkan dan dinilai sepanjang tahun dan di isi secara "online",

         Diharap KSSR ini akan berjaya dijalankan di sekolah dan dapat meningkatkan tahap prestasi murid-murid di semua sekolah.

Thursday 20 October 2011

TEORI DAN PRAKTIKAL DALAM PENDIDIKAN JASMANI KSSR TAHUN 2

          Selama 2 hari bermula kemarin dan hari ini, para peserta Kursus KSSR Pendidikan Jasmani Tahun 2 telah didedahkan dengan teori dan praktikal untuk dilaksanakan di sekolah kelak. Kami dibimbing oleh 3 orang Jurulatih Utama iaitu Cik Nurdini Adibah dari SK. Mesapol ( PPD Sipitang), Encik Awang Mohd Salim ( PPD Beaufort ) dan Encik Yusman ( PPD Kuala Penyu ).

          Aktiviti yang dijalankan bersama Jurulatih Utama merangkumi Pergerakan Asas, Kemahiran Pergerakan  ( Lokomotor & Bukan Lokomotor ), Kemahiran ( Manipulasi Alatan ), Gimnastik Asas, Pergerakan Berirama dan Akuatik @ Rekreasi.

         Sepanjang aktiviti praktikal yang dijalankan selama 2 hari ini, banyak ilmu dan input baru yang diperolehi oleh para guru untuk di bawa ke sekolah kelak. Walaupun kami sedikit kepenatan kerana terpaksa menjiwai  pelajar tahun 2, tetapi kami gembira melakukan aktiviti yang di arahkan oleh Jurulatih Utama.

        Keesokan harinya, kami akan didedahkan dengan Penilaian Berasaskan Sekolah ( PBS ) dan cara memberi pelajar Band. petang esok juga akan diadakan Majlis Perasmian Penutup menandakan selesainya Kursus Standard Sekolah Rendah ( KSSR ) Tahun 2 untuk semua subjek pada tahun ini.

Monday 17 October 2011

KURSUS STANDARD SEKOLAH RENDAH ( KSSR ) PENDIDIKAN JASMANI TAHUN 2

               Hari ini bermula lah Kursus Standard Sekolah Rendah ( KSSR)  Pendidikan Jasmani Tahun 2. Kursus ini diadakan di Sekolah Kebangsaan Merintaman bermula jam 7.30 pagi sehingga 5.30 petang. Tempat asal kursus adalah di SMPO 2 tetapi disebabkan beberapa hal yang tidak dapat dielakkan, tempat kursus terpaksa memindahkan ke tempat lain.

            Kursus KSSR Tahun 2 di kendalikan oleh 2 orang Jurulatih Utama iaitu guru perempuan wakil  dari SK.Mesapol, Sipitang dan seorang lelaki wakil dari PPD Beufort. Kursus  ini akan berlangsung dari 17 Oktober 2011 sehingga 21 Oktober 2011 selama 5 hari.

           Kursus pendidikan jasmani ini merangkumi 2 bahagian iaitu teori di dalam kelas selama 2 hari  dan praktikal selama 2 hari yang akan di adakan di padang sekolah. Satu hari lagi ialah untuk Pentafsiran KSSR. Menurut sumber, KSSR pendidikan Jasmani ini ialah Slot Kursus KSSR terakhir untuk KSSR Tahun 2. Bermula minggu depan, Peperiksaan Akhir tahun dan EXCEL 2011 untuk Tahun 5 akan bermula.

           Diharapa kursus ini akan berlangsung dengan sebaik-baiknya walaupun cuaca tidak menentu.

Tuesday 11 October 2011

NEW BORN....

           Hari ini Sekolah Kebangsaan Banting menerima berita baik iaitu seorang guru telah selamat melahirkan anak lelaki di Hospital Sipitang. Beliau ialah Puan Ivy J.James. Anak beliau yang baru lahir ini ialah anak ketiga beliau. Sebelum ini beliau telah mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

          Hari ini juga, murid-murid Tahun 6 telah memulakan aktiviti sukan "outdoor"  iaitu permainan badminton. Permainan badminton ini melibatkan individu dan beregu. Tetapi hari ini hanya permainan perseorangan sahaja yang dilangsungkan.

1 MURID 1 SUKAN 1 MALAYSIA BERMULA KEMBALI

            Hari ini bermula kembali secara rasmi aktiviti 1 Murid 1 Sukan di sekolah. Walaupun begitu, semangat untuk bersukan belum menampakkan hasilnya kerana ramai yang masih tidak memakai pakaian sukan khusus untuk latihan. Ini menyebabkan tidak semua aktiviti dapat dijalankan dengan sempurna dan baik. Walaupun begitu, aktiviti terpaksa dijalankan supaya murid yang memakai pakiaan sukan dapat mengikuti latihan dengan sebaiknya.

           Hari ini juga, seorang guru SK. Banting telah dimasukkan ke dalam wad kerana teah cukup masa untuk bersalin. Kami warga sekolah semua mengharapkan agar beliau dapat melahirkan anak dengan baik dan sempurna.

          2 orang guru sekolah ini juga iaitu Puan Ismarinny dan Cik Nuraini  telah menghadiri Kursus Standard Sekolah Rendah ( KSSR) di PKG Sipitang. Kursus tersebut akan berlangsung selama 4 hari bermula hari ini sehingga hari Khamis. Kursus ini bagi matapelajaran Dunia Muzik dan Dunia Seni Visual.

Monday 10 October 2011

SELESAI KURSUS KSSR PENDIDIKAN KESIHATAN DAN DUNIA SAINS & TEKNOLOGI

        Hari ini selesai lah Kursus KSSR untuk Pendidikan Kesihatan dan Dunia Sains & Teknologi. Kursus ini bermula dari 5 Oktober 2011 sehingga 10 Oktober 2011. Keesokan harinya, bermula lagi siri ke-4 KSSR iaitu untuk Dunia Muzik dan Dunia Seni Visual.

        Disebabkan bilangan guru yang tidak mengcukupi di setiap sekolah, ada di antara guru yang berkursus hari ini akan menghadiri lagi kursus pada keesokan harinya sehingga 16 oktober 2011 selama 4 hari.

       Dapatan dari kursus selama 4 hari ini akan di gunapakai pada tahun depan untuk setiap matapelajaran KSSR. Jurulatih Utama juga berharap agar ilmu yang didapati pada kursus selama 4 hari akan disebarkan kepada guru-guru lain di sekolah.

      Dengan KSSR yang akan dilaksanakan bagi Tahun 1 dan Tahun 2, maka bertambahlah tugas "pengkeranian"  bagi guru matapelajaran teras dan elektif bagi tahun 1 dan tahun 2. Walaupun begitu, setiap guru akan memikul tanggungjawab ini demi anak didik yang akan dibentuk dan dilatih supaya mereka akan menjadi insan yang berguna kelak.

Wednesday 5 October 2011

KURSUS STANDARD SEKOLAH RENDAH ( KSSR )

           Hari ini bermula kembali kursus KSSR bagi mata pelajaran Pendidikan Kesihatan dan Sains untuk Tahun 2. Kursus ini telah diadakan di PKG Sipitang bermula jam 7.30 pagi sehingga 5.30 petang.

          Kursus ini bermula dengan taklimat pagi bermula jam 7.30 pagi sehingga 8.00 pagi oleh wakil PPD Sipitang selama 30 minit. Seterusnya, para guru dibahagikan kepada kumpulan masing-masing.

        Secara keseluruhannya, kursus ini relaks dan santai memandangkan beberapa orang guru pernah mengikutinya sejak KSSR diperkenalkan tahun lepas lagi untuk murid Tahun 1.

Monday 3 October 2011

MINGGU PEPERIKSAAN SIJIL RENDAH UGAMA ( SRU)

       Bermula hari ini sehingga sabtu ini, satu peperiksaan SRU telah berlangsung. Peperiksaan ini melibatkan pelajar Tahun 5 dan Tahun 6 yang mengambil SRU. Peperiksaan ini berlangsung di Sekolah Ugama Pantai, Sipitang.

       Pada dasarnya,  6 orang murid tahun 6 dan 11 orang murid tahun 5 mengambil peperiksaan ini. Hal ini menyebabkan  kelas tahun 5 dan tahun 6 lenggang dan beberapa orang murid yang tidak mengambilnya tidak dapat belajar dengan baik kerana kekurangan ahli.

       Beberapa orang guru juga tidak dapat hadir ke sekolah kerana pelbagai alasan. Guru besar sendiri tidak dapat hadir ke sekolah hari ini disebabkan sakit perut. Puan Mahani pula tidak dapat hadir kerana banjir di Bukau. Manakala, Puan Musliawati dan Puan Normah tidak hadir ke sekolah kerana terpaksa menghadiri Kursus KSSR tahun 2 untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral di PKG Sipitang.

       Dengan ketidakhadiran guru ini, beberapa waktu di kelas tidak ada guru dan guru-guru lain terpaksa mengantikan seketika kelas tersebut dengan memberikan beberapa kerja supaya tidak bising.

       Minggu ini juga aktiviti 1M1S akan bermula kembali setelah berhenti rehat selama sebulan pada bulan puasa. Walaupun murid tahun 5 dan tahun 6 tidak mengcukupi, tetapi aktiviti akan diteruskan juga dengan murid yang tinggal.

        2 orang murif tahun 5 ( 1 Lelaki dan 1 Perempuan ) dan 2 murid tahun 4 ( 1 Lelaki dan 1 Perempuan )  akan mewakili sekolah ke Perkhemahan perdana 1M1S di SMK. Sindumin pada 5 Oktober sehingga 7 Oktober 2011. Mereka akan bermalam di sana selama 3 hari 2 malam.

        Diharap semua perancangan aktiviti untuk minggu ini akan berlangsung dengan lancar dan baik.